Bagan Datuk, 28 Februari 2025 – Arena Square, Dataran Bagan Datuk menjadi saksi kepada Majlis Bacaan Doa Selamat dan Menandatangani Tugu Keris Bagan Datuk, satu simbol kebanggaan yang mencerminkan warisan dan budaya tempatan.
Majlis yang berlangsung pada jam 9.30 pagi ini dihadiri oleh pelbagai tetamu kehormat. Pembinaan reka bentuk tugu keris ini merupakan jalinan kerjasama Pejabat Orang Besar Jajahan Bagan Datuk, Pejabat Daerah Dan Tanah Bagan Datuk dengan Pusat Pegajian Seni Kreatif dan Jabatan Seni Bina UITM cawangan Seri Iskandar Perak, serta tajaan daripada Puncak Emas Infra Sdn. Bhd.
Tandatangan pada tugu bersejarah ini telah dilakukan oleh Orang Besar Jajahan Bagan Datuk, YDH Toh Seri Lela Paduka Dato’ Dr Khalid bin Ismail, sebagai simbolik perasmian. Sementara itu, Encik Mohd Hafiz bin Bujang, Penolong Pengurus Besar Operasi Puncak Emas Infra Sdn. Bhd., turut hadir dalam majlis bersejarah ini.
Majlis dimulakan dengan bacaan doa selamat, diikuti dengan sesi menandatangani tugu yang menjadi lambang semangat perjuangan serta keutuhan budaya Melayu. Para hadirin turut berpeluang menyaksikan acara simbolik yang memperkukuhkan lagi nilai sejarah dan warisan tempatan.
Dengan berlangsungnya majlis ini, diharapkan Tugu Keris ini akan menjadi satu mercu tanda yang bukan sahaja menarik perhatian pelancong, tetapi juga membangkitkan semangat kecintaan terhadap budaya dan sejarah di kalangan masyarakat setempat.




